Mukaddimah :
Satu laman Facebook (fanpage) telah menaikkan status pembohongan sejarah berunsurkan penghinaan dan perkara-perkara yang tidak benar kepada orang Melayu. Ini menimbulkan respon negatif daripada netizen dan kebanyakan anak-anak muda Melayu menjawab dengan hujah-hujah namun dipadamkan oleh admin page tersebut.
Oleh kerana admin page itu menyekat hujah-hujah secara sihat dan ilmiah maka, jawapan kepada penyelewengan dan pembohongan sejarah Melayu ini telah dinaikkan di page The Patriots Malaysia, satu page perkongsian ilmu yang diuruskan oleh majoritinya anak-anak muda Malaysia berlatarbelakangkan dari pelbagai kaum, pandangan politik dan bidang. Ia dengan cepat telah dikongsi lebih 600 perkongsian walaupun masih baru dinaikkan.
Admin kepada page yang membuat pembohongan sejarah tadi tidak mampu menyangkal jawapan-jawapan ini dan apa yang mereka mampu buat ialah report kepada Facebook dengan mengatakan post yang berisi jawapan-jawapan menyangkal pembohongan sejarah tersebut bersifat rasis. Mempertahankan sejarah sendiri dituduh rasis? Belum lagi jika kita mempertahankan nyawa atau tanah, adakah kita nanti akan dituduh 'teroris' sebagaimana yang terjadi di luarnegara?
Di bawah ini adalah jawapan kepada pembohongan tersebut yang memang dibuat salinan. Semua hujah-hujah ini mengambilkira pandangan ahli akademik dan ada rujukannya.
~saya hanya bantu menyebarkannya.
_________________________________________________________________
DAKWAAN DANGKAL DAN CETEK MENGENAI SEJARAH ASAL USUL NAMA #MELAYU DAN RAJA CHOLAN OLEH ADMIN PAGE MALAYSIAN INDIAN FORUM
1. ASAL USUL MELAYU DARI RAJA RAJENDRA CHOLAN?
Dakwaan :
Kaum Melayu yang kamu semua bermegah-megah dan angkuh itu, adalah nama berian RAJA RAJENDRA CHOLAN (ராஜ ராஜேந்திர சோழன்) seorang India Tamil,dalam abad ke 5 yang bermakna Malai (மலை)=Gunung ; Kaum Gunungan yang beragama HINDU and animisma)
Ulasan :
Walaupun terdapat teori popular yang mengatakan perkataan "Melayu" yang dinisbahkan kepada bangsa Melayu ini berasal dari perkataan "Malai" atau "Malaya", tetapi perlu diingatkan bahawasannya tiada bukti kukuh yang menunjukkan nama "Melayu" itu diberi oleh Raja Rajendra Cholan.
Perkataan "Melayu" yang tertua direkodkan dalam sejarah dicatatkan dalam buku atlas Geōgraphikḕ Hyphḗgēsis yang dilukis oleh seorang Greek bernama Claudius Ptolemius pada sekitar tahun 150 AD.
Dalam peta Aurea Chersonese (diterjemahkan sebagai Semenanjung Emas) yang terdapat dalam atlas tersebut, anda akan menemui perkataan yang disebut sebagai Maleu-kolon atau Malaiu-kolon di mana menurut pendapat Gerolamo Emilio Gerini, kawasan yang dilabelkan sebagai Maleu-kolon itu terletak di sebuah tempat bernama Tanjung Kuantan di Semenanjung Tanah Melayu (Malay Peninsula) kini.
Persoalannya jika nama "Maleu-kolon" sudah dicatatkan dalam peta seorang pengembara Greek yang diterbitkan sejak tahun 150 AD lagi, bagaimana anda boleh mengatakan yang nama Melayu ini diberi oleh seorang raja Tamil yang hidup pada abad ke 11 Masihi?
Dari sini terbukti nama "Melayu" yang merujuk kepada Semenanjung Tanah Melayu kini sudah wujud 1000 tahun sebelum Rajendra Chola lahir ke dunia lagi.
Satu lagi, kami tidak menafikan bahawa ada sesetengah pakar sejarah dan etimologi yang berpendapat bahawa nama Melayu berasal dari perkataan "Malai" atau "Malaiur" dalam bahasa Tamil atau Sanskrit. Namun perlu diingatkan juga bahawa terdapat juga pendapat lain mengenai asal usul etimologi Melayu yang banyak diutarakan oleh pakar sejarah lain.
Ada pendapat yang mengatakan perkataan "Melayu" atau "Malaya" berasal dari perkataan Himalaya di mana dalam bahasa Sanskrit bermaksud Tempat Bersalji. dan ada juga pendapat yang mengatakan bahawa perkataan "Melayu" berasal dari perkataan "Malaya" dalam bahasa Tagalog yang bermaksud "bebas".
Setakat ini saya pernah belum mendengar pendapat yang menyetujui bahawa nama Melayu itu diberi oleh Rajendra Chola, melainkan pendapat karut tersebut hanya dibuat oleh orang syok sendiri sahaja.
Nota : Perkataan Κώλον pada "Μαλεου Κώλον" (Maleou Kolon) pada peta Ptolemy itu memang terdapat dalam kosakata Greek Purba dan muncul dalam dialek Greek Purba yang disebut Attic Greek seawal 500 tahun sebelum Masehi. Kemudian ia muncul dalam teks-teks era abad pertama Masehi pada zaman pendudukan Rom di Mesir Purba, ketika era Cleopatra, Octavian dan era Aegyptus. Kemudian muncul sekitar abad ke-4 dalam dialek Koine Greek terutama sekitar Alexandria.
Kemudian tercatat pada abad ke-10 Masehi
dalam bahasa yang digunakan ketika era Byzantin dan seterusnya di
Constatinople pada abad ke-15.
Etimologi untuk Κώλον atau Kolon adalah
variasi dari maksud induknya iaitu ‘bahagian dari’.Ia digunakan seperti
bahagian dari tubuh badan (jantung,usus,limpa) atau organisasi (ahli)
atau bangunan (dinding,tingkap). Malah,dari perkataan colon yakni
usus besar dalam Bahasa Inggeris berasal dari perkataan Κώλον ini yang
membawa maksud ‘sebahagian dari anggota badan’ dalam kes ini adalah
organ usus besar.
Dalam kes Μαλεου Κώλον pula,ia menjadi
‘Malayu-kolon’ yang membawa erti ‘bahagian dari Malayu’. Dalam konteks
geografi,ia membawa maksud sebagai ‘Tanah Malayu’,’Semenanjung Malayu’
atau ‘wilayah Malayu’.
Ini terbukti dalam peta Ptolemy
berbahasa Latin, ia ditulis ‘Prom' (promunturium) yang bermaksud ‘tanjung’
(Maleou-Kolon Prom), bersesuaian dengan bentuk geografi semenanjung Malaysia yang menganjur berbentuk sebuah tanjung yang besar.
2. RAJENDRA CHOLA MEMBUKA KEDAH TUA?
Dakwaan :
Raja Raja Cholan ayanda Rajendran Cholan adalah Raja terunggul dunia yang pernah wujud : Mengujudkan kerajaan Kadaram (கடாரம்-Kedah ) di lembah bujang (பூஜாங் பள்ளதாக்கு) dan di selatan Kota Kalinggi ( di sorokan kewujudanya )
Sehingga itu, kaum kamu tidak bernama atau bertamadun langsung. Saya tidak berminat untuk memperkecilkan kaum kamu tetapi ingin memperjelaskan fakta dan sejarah semata-mata. Maaf kalau tersinggung. Kalau kamu inginkan rujukan janganlah buat rujukan sejarah dari text gubahan Malaysia yang karut dan dongeng semata-mata. Tetapi rujukan sejarah dari text Thailand, Indonesia, India, Austraia, Singapura, England and Dunia.
Ulasan :
Saya sedikit rasa lucu melihat dakwaan syok sendiri yang dibuat oleh admin page tersebut yang mengatakan Raja Raja Cholan dan Rajendra Chola sebagai "raja terunggul dunia yang pernah wujud". Dakwaan ini nampak melampau dan seolah-olah memperkecilkan banyak raja agung dalam sejarah dunia, yang jauh lebih agung dari raja-raja Chola seperti Alexander The Great, Aurangzeb, Khalifah Harun al Rasyid, Shih Huang Ti, Peter The Great dan banyak lagi.
Rajendra Chola bukanlah pengasas kerajaan Kedah Tua, jauh lagi mengasaskan Kota Gelanggi. Dalam sejarah, Rajendra Chola hanya melakukan penjarahan sahaja ke atas kerajaan Kedah Tua yang pada masa itu sudah lama wujud dan mempunyai tamadun yang tersendiri. Berdasarkan Prasasti Tanjore yang mencatatkan tempat-tempat yang dijarah oleh Rajendra Chola, tiada disebut langsung nama yang merujuk kepada Kota Gelanggi atau Kalinggi.
Kaum Melayu sudah lama membina tamadun yang gemilang jauh sebelum kelahiran Rajendra Chola lagi. Tamadun tertua yang dibina oleh bangsa Melayu direkodkan terletak di Sungai Batu, Kedah yang sudah wujud sejak tahun 500 SEBELUM MASIHI. Ini kemudian diikuti oleh kerajaan Funan (abad pertama Masihi), Champa (abad pertama Masihi), Sri Dharmaraja (abad pertama Masihi) dan Empayar Srivijaya (abad keenam Masihi). Semua nama ini ialah nama-nama kerajaan yang dibina oleh bangsa Melayu dan sudah wujud sejak Rajendra Chola lahir ke dunia lagi.
3. AGAMA ISLAM DI KEPULAUAN MELAYU DIBAWA OLEH ORANG TAMIL SAHAJA?
Dakwaan :
Agama Islam di tanah "Malai" ( மலை நாடு-Malai Nadu) adalah usaha Ustaz-Ustaz dan pendakwah-pendakwah Tamil yang datang ke "Malai Nadu" - Tanah Melayu untuk berdagang sambil berdakwah lebih kurang dalam abad ke 14/15 semasa
pemerintahan Parameswara (பரமேசுவரன்) and keturunanya.
Ulasan :
Sangat lucu membaca dakwaan semberono yang dibuat oleh anda sendiri, seolah-olah seperti ingin mengatakan bahawa penyebaran agama Islam di Asia Tenggara hanya dibuat oleh orang Tamil sahaja walhal anda hanya membuat andaian tanpa bukti kukuh.
Penulisan rekod-rekod klasik orang Melayu sendiri kebanyakan menceritakan bahawa pengIslaman raja-raja di Kepulauan Melayu dilakukan oleh pendakwah-pendakwah berketurunan Arab. Hal ini menjadi bukti kukuh bahawasannya penyebaran Islam di Asia Tenggara secara majoritinya dilakukan oleh orang orang dari Timur Tengah. Walaupun begitu, kami tidak pernah menafikan yang ada pendakwah dan ulama dari India dan China dalam sejarah, yang bertanggungjawab menyebarkan agama Islam di sini, sehingga akhirnya agama ini menjadi agama Persekutuan Malaysia kini mengikut peruntukan dalam Perlembagaan negara kita sendiri.
Sulalatus Salatin (The Malay Annals) dengan jelas menceritakan bahawa Raja Kechil Besar pemerintah Melaka telah memeluk Islam oleh Sayyid Abdul Aziz dari JEDDAH. Raja Kechil Besar kemudiannya menukar namanya kepada Sultan Muhammad Shah (1424 - 1444 M).
Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, pengIslaman raja Kedah yang bernama Raja Phra Ong Mahawangsa telah dilakukan oleh seorang syeikh dari BAGHDAD yang bernama Syeikh Abdullah Yamani. Phra Ong Mahawangsa kemudiannya menukarkan namanya menjadi Sultan Mudzaffar Shah (1136 - 1179 M).
Menurut Hikayat Raja-Raja Pasai, pengIslaman pemerintah kerajaan Samudera-Pasai di Sumatera, Raja Merah Silu (atau Merah Silau) dilakukan oleh Syeikh Ismail yang berasal dari MAKKAH. Baginda kemudian menukar namanya kepada Sultan Malikus Salleh (1267 - 1297 M).
Semua tempat yang disebut itu terletak di Timur Tengah, bukannya dari India.
Jadi admin page Malaysian Indian's Forum selepas ini mohon jangan suka sangat menyebarkan tulisan-tulisan syok sendiri, terutamanya tulisan-tulisan yang memuatkan perkara-perkara palsu dan tidak mempunyai bukti sejarah yang kukuh.
4. BAHASA MELAYU HANYA BERUSIA 600 TAHUN?
Dakwaan :
Usia Bahasa Melayu hanyalah lebih kurang 600 tahun sahaja tetapi Tamil berusia 20 ribu tahun berasaskan benua Kumari (குமரி காண்டம்)( Bahasa pertama dunia - digelar bahasa klasik antarabangsa) : Kalau tidak kerana orang India, Tanah Melayu mungkin masih seperti Bali beragama Hindu.
Ulasan :
Adakah anda mengetahui tentang kewujudan Prasasti Dong Yen Chau (Dong Yen Chau Inscription), Prasasti Kedukan Bukit (Kedukan Bukit Inscription), Prasasti Talang Tuwo (Talang Tuwo Inscription) dan Batu Bersurat Terengganu (Terengganu Inscription)? Kesemua batu-batu bersurat (prasasti) tersebut ialah bukti bertulis yang menunjukkan Bahasa Melayu sudah wujud sebelum zaman Kesultanan Melaka lagi.
Prasasti Kedukan Bukit (ditemui di Kampung Kedukan Bukit, Palembang, Sumatera Selatan) yang mencatatkan peristiwa tahun 605 Saka (682 Masihi) ini diukir dalam Bahasa Melayu Kuno dengan banyak kosakata dari bahasa Sanskrit. Prasasti milik kerajaan Srivijaya ini mempunyai banyak kosakata bahasa Melayu Kuno yang masih digunakan dalam bahasa Melayu Moden sehingga kini. Berikut merupakan petikan yang terdapat di atas batu bersurat Kedukan Bukit tersebut ;
svasti śrī śakavaŕşātīta 605 (604?) ekādaśī śu-
klapakşa vulan vaiśākha ḍapunta hiyang nāyik di
sāmvau mangalap siddhayātra di saptamī śuklapakşa
vulan jyeşţha ḍapunta hiyang maŕlapas dari minānga
tāmvan mamāva yaṃ vala dualakşa dangan ko-
duaratus cāra di sāmvau dangan jālan sarivu
tlurātus sapulu dua vañakña dātaṃ di mata jap
sukhacitta di pañcamī śuklapakşa vula<n>
laghu mudita dātaṃ marvuat vanua
śrīvijaya jaya siddhayātra subhikşa
Perhatikan banyak perkataan bahasa Melayu Kuno dalam petikan prasasti ini yang masih lagi digunakan sehingga sekarang.
vulan = bulan
ḍapunta hiyang nāyik di sāmvau = Dapunta Hiyang naik di sambau (kapal)
marlapas dari minānga tāmvan = berlepas dari Minanga Tamvan
mamāva yaṃ vala dualakşa dangan ko- = membawa bala dua laksa (dua ribu) dengan
duaratus cāra di sāmvau dangan jālan sarivu = dua ratus pawang di sambau (kapal) dengan jalan seribu
tlurātus sapulu dua vañakña dātaṃ di mata jap = tiga ratus sepuluh dua banyaknya datang di Matajap
mudita dātaṃ marvuat vanua = mudik datang membuat benua
(nota : perkataan yang mengandungi huruf V dalam bahasa Melayu Kuno akan ditukar kepada huruf B dalam bahasa Melayu Moden)
Kewujudan perkataan bahasa Melayu Kuno dalam Prasasti Kedukan Bukit yang berusia 1400 tahun ini menunjukkan bahawa hipotesis anda bahawa bahasa Melayu hanya berusia 600 tahun adalah salah dan mengarut sama sekali.
Tidak kurang daripada itu, sarjana berpendapat bahawa Bahasa Proto-Austronesia, iaitu nenek moyang kepada Bahasa Melayu telah wujud sejak 5000 SM, iaitu 7000 tahun yang lalu!
Perkataan-perkataan Melayu yang muncul dalam Prasasti Dong Yen Chau (Champa) |
5. 70% PERKATAAN BAHASA MELAYU BERASAL DARI TAMIL
Dakwaan :
Perbendaharaan kata Bahasa Melayu itu sekali banyak berasal dari Bahasa Tamil(தமிழ்), Sanskrit(சமஸ்கிருதம்),
Hindi(இந்தி), Telegu(தெலுங்கு), Urdu(உருது): Lebih Kurang 70% daripada Bahasa Melayu adalah bahasa pinjaman dari bahasa-bahasa berasal dari India. Kalau tak silap bahasa Melayu hanya mewarisi 3 perkataan asal sahaja. satu daripadanya adalah perkataan "babi"(பன்றி).
Ulasan :
Tidak hairan apabila Bahasa Melayu mempunyai banyak kosakata pinjaman dari bahasa-bahasa asing termasuklah Sanskrit, Arab, Inggeris dan Cina. Lokasi Kepulauan Melayu itu sendiri terletak di tengah-tengah jalan perdagangan antarabangsa antara India dan China.
Tetapi pinjaman sebuah bahasa dari bahasa lain tidak pernah menjadikan darjat sebuah bahasa direndahkan. Faktor utama yang mewujudkan kepada pinjaman ini adalah kerana sebuah bahasa itu merupakan lingua franca. Sebagai contoh, bahasa Inggeris sering didabikkan sebagai bahasa antarabangsa telah meminjam daripada bahasa Melayu itu sendiri apabila terdapat pertembungan antara tamadun Inggeris dan juga Tamadun Melayu.
Mengenai dakwaan yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu hanya mempunyai 3 buah perkataan, izinkan saya untuk matikan fantasi dan mimpi basah admin page Malaysian Indian Forum.
Mari saya kongsikan kepada anda antara perkataan-perkataan asli dalam bahasa Melayu.
~~air, akar, aku, alu (pasangan kepada lesung), alur, anak, api, balai, **barat, bara, baru, bau, bayang, benua, beras, beri, besi, betina, bibir, bintang, buah, bukit, bulan, bulu, bunuh, cucuk, dahi, danau, dapur, darah, darat, daun, dekat, dendam, dengar, duri, ekor, gatal, habuk, hampar, hanyut, hantar, hantu, hari, hati, hidung, hirup, hujan, hulu, huma, ikan, induk, ini, itu, jahit, jarum, kail, kanan, kayu, kerbau, ketawa, kiri, kita, kuku, kulit, kutu, labah-labah, labuh, langit, laut, layar, leher, lelap, lesung, lintah, liput, luar, ludah, makan, malam, mati, mentah, mimpi, minum, nanah, nasi, nyiur, orang, padi, pahit, paku, palu, panah, peha, penuh, puluh, putih, ratus, rumah, tahi, tampi, tanah, tanak, tanam, tangis, telinga, telur, timur, tiup, tua, tuli, ubi, udang, urat, yu (ikan).~~
Bahasa Melayu terkelompok secara linguistik dalam bahasa-bahasa Malayo-Polinesia atau keluarga Austronesia |
6. KETURUNAN RAJA-RAJA MELAYU MELAKA BERASAL DARI INDIA
Dakwaan:
Keturunan and warisan Raja Raja Melayu adalah warisan dari Raja Raja berasal dari Raja Parameswara seorang Putera Hindu Majapahit yang berasal dari India. Tapi kita tahulah Sejarah Malaysia ingin mengaburi minda muda telah mengubal sejarah untuk memajukan agenda "ketuanan Melayu" secara palsu and mengkhianati sejarah sebenar Malaysia. HARAM semata-mata.
Ulasan:
Bercakap pasal entiti Parameswara ini, ianya sebenarnya merujuk kepada dua entiti. Apa yang dipaparkan dalam buku teks adalah salah kerana ianya memetik catatan Tom Piresyang menceritakan tentang seorang putera raja dari Sumatera lalu ke Singapura dan membuka kerajaan baru. Konon putera raja ini membunuh seorang pentadbir Singapura bernama Temagi sebelum melarikan diri lagi dan membuka Melaka.
Versi kedua pula adalah Sri Tri Buana atau juga dikenali dalam sejarah Melayu sebagai Sang Nila Utama yang tiba di Sungai Singapura. Dan tahukah anda bahawa Sri Tri Buana atau Sang Nila Utama ini adalah daripada Srivijaya.
Dari keturunan Sang Nila Utama inilah lahirnya pemerintah Singapura Purba yang akhirnya bersambung pada Iskandar Shah pembuka Melaka. Diceritakan bahawa kota ini diserang oleh Majapahit atau Singgahsari yang lebih awal ketika itu kalau kita ikut timeline. Dan ketika itulah Iskandar Shah ini lari ke Melaka dan membuka kota Melaka.
Dari kerajaan yang manakah asalnya Parameswara sebab India bukan sebuah kerajaan yang kecil sahaja tetapi sebuah kerajaan yang besar. Jadi, tiada penjelasan yang kuat. Ada banyak kerajaan yang berdiri di India ketika itu dan perlunya menyebut sebuah kerajaan dari Benua India itu sendiri.
Perlu juga diketahui bahawa sesungguhnya Majapahit itu sendiri merupakan kerajaan orang Jawa dan tidak ada kena mengena dengan mana-mana putera raja India. Adalah sebuah pembohongan yang terlalu bebal apabila tidak mampu untuk membezakan antara sebuah kerajaan orang Jawa dan juga India. Kami orang Melayu yang merupakan adik-beradik serumpun dengan orang Jawa dan juga terdapat orang Jawa yang sudah berasimilasi ke dalam bangsa Melayu agak terkilan apabila kerajaan Majapahit yang menjadi kebanggaan orang Jawa pun mahu di-India-kan hanya kerana beragama Hindu suatu masa dahulu.
Sebelum kita ke point seterusnya, hadam kata-kata dibawah:
“It is clear that he (Parameswara) was a prince of Malayu and that he was a Malay. This fact is corroborated in Tome Pires’ account where the Parameswara himself acknowledged that he was a Malayu. His father was a king or ruler, the Sang Aji, of Palembang.”
(al-Attas, 2011; hlm 43)
7. SEMUA BUDAYA MELAYU BERASAL DARI INDIA
Dakwaan:
Seni permainan seperti congkat, adalah berasal dari India : Peralatan musik seperti Kompang, Gendang, Gong and lain lain lagi juda mempunyai asal usul India : Seni mempertahakan diri seperti Silat itu adalah berasal dari "Silambam & Kalari " : Adat Perkahwinan - seperti Tepung Tawar,Bersanding, Berinai, Hantaran, Sirih/Pinang and pelbagainya adalah adat istiadat India berasakan Hindu. : Seni Logam, Logam hiasan, Tarian and pelbagai lagi adalah tempisan adat India-Hindu.
Permakanan : Kaum Gunungan ( Melayu) - Di abad Ke 5 : Cara pemakanan mereka adalah beraskan Ulam, Rebusan, Tumbukan Sahaja dan tangkapa sungair/Laut ataun Hutan. Cara pemasak beresepi, pengunaan minyak, tumisan, rempah ratus, cili, beras dan sebagainya mempunyai hubungan dari benua India-Hindu.Kuih-kuih seperti Roti Canai, Kari,Muruku, Kuih Ros,Thumbi, dan banyak lagi adalah berasakan permakanan dari India. Yang Benarnya tak terkira dan melaului masa semua bercampur aduk.
Dalam abad ke 18 datanglah ramai orang dari India untuk memajukan Tanah Melayu and sekaligus membangunkan ekonomi tempatan : Lebih kurang 1.2 juta orang India berkorban dalam jangga masa 100 tahum bermula 1850 ke 1950 untuk meneroka tanah ini. Pengorbanan kerana - gigitan ular, penyakit tropika, Malaria and kekurangan pemakanan berkhasiat ,Kalau tidak kerana orang India tidak adalah adalah estet-estet yang mendokong ekonomi kita lebih dari satu kurun. Orang Indian sahaja melalui estet menyumbangakan lebih daripada 50% GDP dari 1850 to 1950.
Ulasan:
Ini sebuah dakwaan yang tidak berasas. Untuk membuat sebuah dakwaan bahawa sebuah budaya atau adat itu datang daripada sebuah tamadun, ianya memerlukan analisis yang mendalam. Sebagai contoh, anda mengatakan bahawa silat berasal daripada seni bela diri silambam. Maka di sini saya mahu melihat apakah falsafah-falsafah silat itu masih mampu dapat dipenuhi di sini ataupun tidak. Sekurangnya falsafah keris itu mesti wujud di mana-mana tempat di India.
Falsafah Keris itu juga sangat tinggi. Sebagai contoh, umumnya, orang Melayu mensisipkan keris di pinggang, iaitu dibahagian hadapan badan dengan menaruhkan harapan dan ketuahan kepada keris lebih utama daripada diri mereka sendiri. Apabila dilihat dari hadapan, musuh atau lawan sudah berandaian bahawa si pemakai keris sebenarnya sudah siap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
Manakala bagi orang Jawa, keris disisipkan dibahagian belakang badan mereka dengan niat untuk sentiasa berwaspada dan keris dicabut daripada sarung apabila diperlukan. Lantaran itu, keris yang disembunyikan dibelakang badan juga bertujuan untuk mengelirukan lawan.
Apabila hulu keris dihadapkan ke arah badan, iaitu sama ada dibahagian hadapan atau pun belakang si pemakai, ia membawa maksud ‘aku datang dengan aman’.
Sekiranya, hulu keris dihadapkan keluar, ia merupakan tanda amaran kepada musuh atau lawan dan memberi pengertian ‘aku siap untuk bertarung’.
Terdapat 10 simbol dan falsafah keris itu dalam masyarakat Melayu wahai saudara. Keris dalam masyarakat Melayu ialah sebagai lambang maruah, kejantanan, harga diri, jati diri, daulat, senjata, batang tubuh, penjaga diri, pembantu dan pakaian.
Itu belum lagi saya menceritakan mengenai Falsafah pembinaan keris, falsafah bilah keris, falsafah adab dan rahsia dan falsafah anatomi keris. Apakah di India mempunyai sesuatu yang seumpama dengannya? Apakah Silambam menggunakan senjata yang tinggi falsafahnya? Itu saya bicara mengenai soal keris sahaja tuan. Belum lagi soal semua budaya-budaya yang didakwa datang dari India. Dakwaan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya tuan. Anda perlu berdasarkan analisis dan bukti yang jitu.
Itu belum lagi kami bicarakan sesuatu seperti gendang misalnya. Untuk pengetahuan semua, gendang yang wujud di Nusantara adalah berusia 600 SM, kira-kira 400 ratus tahun sebelum permulaan era Sanggam di selatan India. Gendang Dong Son namanya. Gendang Dong Son banyak ditemui di seluruh Asia Tenggara termasuklah Malaysia. Gendang Dong Son di Malaysia ditemui di Batu Buruk, Terengganu dan Sungai Lang, Selangor.
Atau kami bicarakan mengenai perbezaan penggunaan rempah dalam masakan, tentang rempah masakan India adalah rempah kering manakala di Nusantara menggunakan rempah-rempah basah. Bahkan Nusantara ini adalah tempat asal kepada rempah seperti cengkih, kayumanis, dan pala.
Dari segi musik, paling mudah mematahkan hujah kerana alat muzik India lebih tertumpu pada jenis drums, string instrument dan flute.
Ini jauh berbeza dari alat muzik Nusantara/Melayu yang menggunakan jenis bronze ensemble termasuk gong, gamelan yang merangkumi sauron, demong, kenong dan bonang. Alatan seperti canang juga unik di Nusantara.
Kalau soal seperti tarian, ianya lebih kompleks kerana ada tarian yang memang lokal genius tempatan, tetapi dalam masa yang sama bercampur dengan pengaruh Parsi, india, Arab, China dan banyak lagi.
Oh ya, nak bagitahu makanan dari India seperti maruku, capati dan roti canai sememangnya dari India, tidak pernah pula didengar ada orang Melayu klaim bahawa itu makanan tradisi kami. Tetapi adalah tidak munasabah apabila mengatakan bahawa semua makanan yang dibuat oleh orang Melayu berasal dari India? Adakah belacan dan tempoyak misalnya berasal dari India juga?
Perlu diketahui bahawa Kepulauan Melayu merupakan sebuah wilayah yang menjadi rebutan kerana kekayaan rempahnya. Adalah tidak munasabah apabila pribumi yang sudah selalu bergelumang dengan rempah-ratus yang kaya ini tidak tahu untuk memasak? Kalau macam tu, sebelum orang India datang ke sini, kami di sini memang tak pandai memasak makanan sendiri la ya? Kebuluran gitu?
Menarik betul logik akal saudara.
Terakhir...
Boleh kami dapat rujukan kepada sumbangan 50 peratus GDP pada tahun 1850 negara kita?
-HE dan RAD-
Rujukan:
1. Gerini, Gerolamo Emilio (1974), Researches on Ptolemy's geography of eastern Asia (further India and Indo-Malay archipelago, Oriental Books Reprint Corporation, pp.101
2. Arokiaswamy, Celine W.M. (2000). Tamil Influences in Malaysia, Indonesia, and the Philippines. Manila s.n. pp. 37, 38, & 41.
3. Guy, John. (7 April 2014). Lost Kingdoms: Hindu-Buddhist Sculpture of Early Southeast Asia. Metropolitan Museum of Art. p. 21
4. Abdul Rashid Melebek; Amat Juhari Moain (2004), Sejarah Bahasa Melayu (History of the Malay language), Utusan Malaysia. Pg 27
5. Abdul Rahman Al-Ahmadi (1991), "Old Malay scripts (pre-Jawi) of Champa and Srivijaya", Excerpta Indonesica, Centre for Documentation on Modern Indonesia, Royal Institute of Linguistics and Anthropology, 42-48
5. Shahrir Mohd Zain (2003). Penyebaran Orang Rumpun Melayu Pra-Islam dan Perkembangan Tulisan Bahasa Melayu. pp129-146
6. Dr. Md. Salleh Yaapar. (2014) Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu: Ke arah Pencerahan yang Dinantikan oleh Prof. Dato’ Seri Dewan Bahasa Dan Pustaka
7. Paul Michel Munez. (2004) Early Kingdom Of The Indonesian Archipelago And The Malay Peninsula
8. Mohd. Zariat Abdul Rani, Antara Islam dan Hinduisme di Alam Melayu : Beberapa Catatan Pengkaji Barat dalam Jurnal Sari edisi 23 (2005), p.67 – 82
9. Ahmad Jelani Halimi (2008), Sejarah dan tamadun bangsa Melayu pg. 24 – 50
10. Mahyudin Al-Mudra (2009). Melacak Asal-Usul Keris dan Peranannya Dalam Sejarah Nusantara. Sari 27-44.
11. Khamid Mohamad & Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman (2013). Falsafah dan Isu Masa Kini. International Journal of the Malay World and Cilivization (Iman): 45 – 43.
12. Video Pembentangan Prof Mokhtar Saidin Tentang Sungai Batu (Link: https://www.youtube.com/watch?v=OSZU3JxDcxY)
13. http://www.tagalogtranslate.com/tl_en/13635/malayo
14. http://www.tagalogtranslate.com/tl_en/13633/malaya