Tuesday, May 17, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa:Fantasi atau Realiti?






Saya pasti ada di antara anda semua yang telah menonton filem terbitan KRU:Hikayat Merong Mahawangsa.Filem ini dibuat berdasarkan pengubahsuaian ke atas sebuah manuskrip purba bertulisan Jawi dan menggunakan bahasa Melayu Klasik dengan tajuk yang sama.Manuskrip bertulisan Jawi ini ditulis pada abad ke-16 hingga ke 19 dan dipercayai terdapat beberapa lagi manuskrip yang sama dan lebih awal,diduga ditulis pada abad ke 13 hingga ke 16.Ini kerana ketika Siam menjajah Kedah,beberapa manuskrip telah dibakar atau dirampas.Begitu juga ketika era penjajahan British,ada manuskrip yang dibawa ke Pulau Pinang dan Singapura selain ada yang disimpan di muzium-muzium Eropah.Seperti biasa,sebagaimana Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu),Hikayat Merong Mahawangsa juga di'klon' sebanyak-banyaknya oleh para bangsawan dan raja-raja Melayu yang telah berfikiran jauh,bagi menjaga riwayat bangsa Melayu.Jika manuskrip ini hanya satu,maka sudah pasti hari ini KRU bersaudara tidak menerbitkan filem ini.

Hikayat ini telah ditulis berdasarkan cerita turun temurun dan beberapa salinan manuskrip yang lebih tua,antaranya berasal dari zaman sebelum Islam.Hikayat Merong Mahawangsa menceritakan tentang Merong,sebagai watak utama telah bertindak sebagai pengiring kepada Putera Rom yang akan dikahwinkan dengan Puteri China.Merong telah membuka negeri Langkasuka dan di dalam hikayat ini dikatakan anak-anaknya telah membuka negeri Siam,Patani dan Perak.

Jadi persoalannya,adakah ada hikayat ini boleh dijadikan rujukan sejarah?Atau semata-mata fantasi atau dongeng?Dalam artikel yang ringkas ini,saya akan cuba membawakan kepada anda beberapa anekdot yang menakjubkan tentang hikayat ini yang sebenarnya adalah karya sejarah yang berselindungkan di sebalik mitos dan cerita rakyat.

Premis yang penting dan menjadi komersil dalam hikayat ini ialah Merong yang mengiringkan Putera Rom untuk berkahwin dengan Puteri China.Dalam mana-mana riwayat atau catatan sejarah,tiada tersebut tentang perkahwinan mana-mana kerabat Rom dan China.Jadi ini adalah dakwaan yang luar biasa dan unik.Jadi kreatif juga pengarang Melayu pada masa dahulu.Adakah pengarang Melayu berfantasi.Tidak semuanya.

Sebenarnya di Nusantara,beberapa kerajaan silam telah telah lama menjalankan perdagangan dengan Empayar Rom dan Parsi.Ini dibuktikan dalam The Geography karya Claudius Ptolemy (90 hingga 168 Masehi),seorang ahli geografi dan pemetaan Rom yang berbangsa Greek (Yunani).Di dalam karyanya,beliau telah menyebutkan tentang Kattigara (Cattigara),iaitu sebuah tempat persinggahan atau pelabuhan.Kattigara terletak di sebuah tanjung dan tanjung itu dipanggil Cape of Cattigara.Ptolemy menyebutkan bahawa Kattigara adalah pelabuhan yang terkenal di kalangan oleh orang Rom (Empayar Rom) dan ia merupakan pelabuhan penting bagi pedagang Rom di Timur Jauh.



Dalam catatan juga menyebutkan di Kattigara ini juga adalah pertemuan antara para pedagang Rom (Graeco-Roman) dengan pedagang-pedagang China.Kattigara dinyatakan oleh Ptolemy sebagai pelabuhan yang terletak di Sinus Magnus dan terletak paling tenggara Asia.Ia boleh dicapai dari Golden Peninsula (Golden Chersonese) melalui 20 hari pelayaran.Berdasarkan data-data ini,para sarjana merumuskan Kattigara ialah kawasan arkeologi Oc-eo yang terletak di Vietnam,di mana di sini telah dijumpai tapak pelabuhan purba yang mengandungi banyak artifak dari Rom,Greek,Parsi,China dan India.Sinus Magnus dipercayai adalah Teluk Siam (Gulf of Thailand).

Kawasan Oc-eo sebelum menjadi wilayah Vietnam adalah termasuk dalam wilayah Kemboja dan pernah di bawah kawalan Champa suatu ketika dulu.Sarjana dunia mengatakan kemungkinan besar Oc-eo adalah pelabuhan Funan.Namun saya beranggapan bahawa Oc-eo adalah pelabuhan 'city-states' Langkasuka atau kerajaan sebelumnya.Namun sejak Bhavavarman II,raja Chenla yang berjaya menyerap Funan ke dalam Chenla menamakan dirinya 'Mala Malayu iva Malayam raja' yang bermaksud 'raja Mala dari negeri Malayu' dalam inskripsi Han Chey,maka saya kuat mengatakan bahawa Bhavavarman maksudkannya bahawa beliau telah berjaya menjadi emperor bagi seluruh jajahan Funan,yang disebutnya sebagai 'Mala Malayu'.Maka Oc-eo juga adalah pelabuhan 'Malayam/Malayang' iaitu sebutan Khmer kepada negeri/city-states Melayu pada zaman purba.



Jika Ptolemy menyebutkan di Oc-eo adalah persinggahan pedagang Graeco-Roman dan China,dan orang Rom mengenal semenanjung Tanah Melayu sebagai 'Golden Chersonese' maka kita boleh lihat terdapat logik pada Hikayat Merong Mahawangsa.Sebelum sampai ke Oc-eo di selatan Vietnam,maka para pedagang Rom perlu melalui 'Golden Chersonese' dahulu melainkan mereka bergerak melalui Benua Amerika dan masuk ke Lautan Pasifik!

Sudah tentu,selain Oc-eo,terdapat banyak pelabuhan di sepanjang Golden Chersonese.

Kajian sarjana mengatakan bahawa kapal-kapal Rom secara umumnya tidak mampu bergerak melawan badai di Lautan Hindi dan kapal-kapal Rom biasanya ditarik oleh berpuluh-puluh pendayung.Jadi adalah munasabah jika pedagang Rom selalu meminta bantuan kapal-kapal pedagang Parsi dan India untuk ke Timur Jauh.Dan sudah pasti mereka juga memerlukan khidmat kapal-kapal pedagang Melayu sebagai antara 'the best seafarers' di dunia.Jadi Merong Mahawangsa dilantik sebagai panglima laut Rom untuk misi membawa kerabat diraja Rom ke Nusantara.Saya tidak hairan kerana dalam kisah Henry The Black (Enrique) juga iaitu seorang Melayu yang pada mulanya sebagai hamba Ferdinand Magellan telah dilantik sebagai nakhoda kepada salah satu kapal dalam rombongan ekspedisi Magellan (menariknya,ini disahkan dalam catatan Duarte Barbossa,salah seorang anak kapal) dan kapal inilah yang belayar memimpin kapal-kapal yang lain (3 kapal yang tinggal dari 5 kapal iaitu San Antonio, Conception, Victoria, Santiago dan kapal Magellan sendiri,Trinidad ) menuju Eropah.Ini adalah kerana selepas kematian Magellan,semua anak kapal beliau kehilangan arah dan semangat.Mereka tidak tahu dimanakah mereka berada.Hanya seorang sahaja yang tahu tentang selok-belok laut di situ dan jalan menuju ke Sepanyol.Ia adalah Hitam atau sesetengah riwayat mengatakan sebagai Awang.Hitam ini berasal dari Melaka dan dikatakan antara banduan perang Melaka-Portugis.Ia telah diambil oleh Magellan seterusnya kerana Magellan memerlukan seseorang yang boleh berbahasa Melayu kerana bahasa Melayu adalah lingua franca seluruh Asia Tenggara ketika itu hatta kerajaan Ayutthaya (ada raja-raja mereka yang boleh berbahasa Melayu) dan Kemboja memiliki penterjemah rasmi dalam bahasa Melayu.Keputusan Magellan tepat kerana ketika mengalami masalah komunikasi antara puak-puak di Kepulauan Filipina,maka apabila Hitam bersuara,ketua puak di Filipina dan orang-orangnya mendengar dengan teliti dan memahami pertuturan Hitam.



Jadi konsep 'perkahwinan Rom dan China' ini adalah munasabah.Mungkin bukan putera Emperor Rom atau puteri Maharaja China.Mungkin anak salah seorang gabenor Rom atau kerabat raja mereka.Puteri China itu mungkin salah seorang isteri atau gundik Maharaja China kerana kita maklum raja-raja China dahulu beristeri ramai dan menyimpan gundik.

Merong bermaksud 'Ular Besar' dalam bahasa Mon-Malayu purba.Dahulu orang Melayu Indochina bergaul dengan orang Mon di tengah Thailand.Sebenarnya orang Mon bukanlah asal Burma.Mereka penduduk asal tengah Thailand hingga ke Segenting Kra.Dari tengah Thailand mereka tersebar ke Chiang Mai di utara dan Pegu di Burma.Bersama-sama bangsa Malayu,mereka membina negarakota-negarakota di seluruh Indochina.Ketika itu orang Khmer masih berada di sekitar Laos kini.

Amat penting untuk kita 'READ BETWEEN THE LINES' karya-karya Melayu pada masa silam.Jika kita mahir dalam soal ini,kita akan melihat bahawa sebahagian besar hikayat-hikayat Melayu ini sebenarnya adalah dokumen sejarah,yang berselindung di sebalik 'mitos' dan 'cerita rakyat'.

Lama sebelum pelabuhan Oc-eo dijumpai dan kenyataan bahawa terdapat duit syiling Rom di sana serta artifak China,Hikayat Merong Mahawangsa telah berabad-abad lamanya mengungkapkan tentang hubungan Empayar Rom dengan China,sesuatu yang tidak terfikir oleh sarjana barat pada masa dahulu.





~The Naga King's Daughter

Thursday, May 12, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa:Ulasan dari Srikandi








Kali ni Srikandi nak ulas sikit pasal filem HMM yang dibikin oleh KRU Studios.KRU ni dulu penyanyi lagu rap seangkatan dengan 4U2C.Ni apa yang Srikandi kaji sendiri sebab zaman tu Srikandi kecil lagi.Tapi Srikandi ingat lagi lagu Awas dan Mengerti.Bayangkan masa lagu rock dah mula mencapai tahap leleh,tetiba ada lagu macam Mengerti tu.Tetiba keluar 'industrial remix' ditengah-tengah pop dan rock leleh.Agak gempar juga kan.

KRU ni memang kreatif.Dari konsep lagu mereka sampailah filem-filem mereka.Memang mereka ada 'international value'.Berani berbeza.Saya suka Magika.Boleh pulak buat 'hikayat Melayu' dengan kostum yang hebat.Tapi saya sedih dengan kostum HMM.Macam orang gua.Tetapi Merong walaupun dari 'orang gua' itu,dia pandai berkomunikasi banyak bahasa dan merantau dari India sampai ke Jepun (dalam filem itu).Itulah beza orang Melayu dengan kaum-kaum Austronesia lain.Laut telah menjadikan mereka begitu 'international value'.

Filem Hikayat Merong Mahawangsa diadaptasi dari sebuah manuskrip kuno bertulisan Jawi,diduga ditulis pada abad ke-16 atau ke-17.Manuskrip itu juga bertajuk Hikayat Merong Mahawangsa.Di dalam manuskrip ini terdapat gelaran-gelaran yang kita kata 'gelaran Siam' seperti Phra Ong atau Mahapudisat.Ini menimbulkan kekeliruan kadangkala,macam saya dulu memikirkan kenapa raja-raja Kedah dulu namanya berbunyi kesiam-siaman?Sebenarnya gelaran Phra Ong itu berasal dari gelaran dalam bahasa Khmer,bukan Thai.Phra berasal dari perkataan Preah.Mahapudisat berasal dari kata Sanskrit 'Maha Boddhisatva'.

Tiba-tiba ada gelaran Siam itu adalah sebab raja-raja Melayu di Segenting Kra dahulu memerintah rakyatnya yang bercampur dengan kaum-kaum Tai-Kadai dan Austroasiatic seperti Thai,Mon dan Khmer.Ada jurutulisnya dari keturunan Mon atau Tai.Ala...macam keturunan Nai yang buka blog Kedah Cyber Saiburi tu.Rakyat Mon dan Tai menggelar raja-raja Melayu dengan gelaran dalam bahasa mereka jadi jurutulis ini mengekalkan gelaran 'Siam' raja-raja Melayu.Bangsa Melayu memang unik.Belah-belah utara jumpa dengan Khmer dan Tai,maka adalah pengaruh-mempengaruhi sikit.Belah selatan jumpa dengan Jawa dan Bugis.Belah-belah Terengganu,Kelantan jumpa dengan orang Cham dan Tai.Melayu Borneo jumpa dengan orang Dayak dan Sulu.Jadi dunia Melayu ni luas.




Saya tertarik dengan gaya pakaian raja Muzaffar Syah yang muncul pada babak awal dan akhir filem.Yup,inilah gaya kostum raja-raja Melayu Segenting Kra dan Indochina pada zaman purba.Masalahnya hari ini orang Melayu didoktrinkan dengan kostum era Kesultanan Melaka.Nampak pelik sikit,dituduhnya  dari Siamlah itulah inilah,padahal ahli sejarah tahu budaya Melayu Segenting Kra dan Khmer yang mempengaruhi budaya Siam/Thai.Mahkota berkerawang seperti yang dilihat dalam filem ini memang gaya khas raja-raja Melayu Indochina.

Bagi saya filem ini bagus sebagai permulaan.Adegan pertempurannya bolehlah...beratus kali lebih baik daripada filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang...maaflah,filem yang memang mengarut.Cuma tentera lanun lekeh sangat dan nampak macam sedikit sedangkan kata Kamawas 'beribu pahlawan'.Buatla CGI sikit 'duplicate' banyak-banyak jadi seolah-olah beribu-ribu tentera lanun.

Sebenarnya Merong Mahawangsa bukanlah pemuda gelandangan yang berlayar tanpa haluan.Merong berkhidmat dengan Maharaja Rom dan dia sendiri adalah raja di salah sebuah tempat di Tanah Melayu (Kedah la kat mana lagi).Saya sudah nyatakan bahawa 'Rom' dalam hikayat-hikayat Melayu bukanlah semata-mata Empayar Rom itu,kemungkinan Yunani (Greece) atau Parsi.Semua bangsa-bangsa Rom,Yunani dan Parsi dikenal oleh bangsa Melayu pada zaman purba sebagai 'Rom'.Bukti hubungan bangsa Melayu dengan empayar Rom pun memang ada,sebab di tapak arkeologi pelabuhan Champa dan Funan telah ditemui artifak dari empayar Rom,duit logam dan tembikar.

Saya percaya,Merong adalah berketurunan Mon-Malayu dan beliau ada kaitan dengan keturunan dinasti Ketomala dalam riwayat Khmer.'Keto' bermaksud 'Keta' iaitu Kedah pada hari ini manakala 'Mala' adalah nama purba bangsa Melayu.Oleh kerana beliau mahir dalam pelayaran maka saya berpendapat salah seorang raja Parsi atau Hellenistik (merangkumi kawasan utara India hingga ke Parsi,tinggalan empayar Alexander The Great) telah mengupah beliau menjadi panglima angkatan laut.

Merong adalah orang Melayu.Ini kerana orang Mon,Khmer dan Tai adalah bangsa-bangsa agraria (pertanian).Orang Melayu adalah rumpun Austronesia dan merupakan bangsa maritim (kelautan).Orang Melayu telah mula berlayar ke seluruh dunia sejak awal abad pertama masehi lagi.Saya suka dengan gambaran tentang Merong dalam filem ini yang menunjukkan Merong biasa berlayar sehingga ke Rom,India sampai ke Nagasaki!

Bukti paling sahih orang Melayu ahli pelayaran adalah ukiran kapal di candi Borobudur.Kapal ini mempunyai 'outrigger' yang merupakan ciri-ciri kapal dan perahu suku-suku Malayo-Polinesia.'Outrigger' ini berfungsi sebagai pengimbang.Hikayat-hikayat Tai,Khmer dan Mon tiada mengenai laut dan pelayaran,namun hikayat Melayu tidak sah kalau tidak menyebut tentang kapal dan laut.

Apa pun saya beri 4/5 untuk filem ini.1/5 kurang sebab kostum penduduk Golden Chersonese macam orang gua.Padahal masa abad ke-2 Masehi (ini kenyataan KRU) Funan,Gangga Nagara dan Champa sudah berdagang emas ke Rom dan Parsi.




~Srikandi
 
Cik Seri Berceloteh - Blogger Templates, Wordpress Templates Free - by Templates para novo blogger HD TV Watch Entourage Online. Featured on Local Business Singapore